Wednesday 31 August 2011

Sensasi Sara Ali

pix_gal0

BELUM meluas dikenali dalam industri hiburan, namun di luar sana sudah bertebaran pelbagai khabar kurang enak mengenai gadis yang memakai nama komersial, Sara Ali ini. 

Bagaikan langsung tidak diberi peluang untuk bernafas, Sara, 21, terus dihukum dan diadili ketika dirinya masih terkapai-kapai cuba memahami realiti industri hiburan. Sara sendirian menahan getar apabila dilempar pelbagai label dan kecaman yang menyakitkan.
Hanya kerana gagal menghadiri sesi fotografi untuk sebuah majalah hiburan popular, selain lewat tiba untuk satu lagi temu janji, Sara terus dihukum sebagai bakat baru tidak berdisiplin.
Nama Sara sekali lagi dipalit kontroversi apabila didakwa sengaja mencipta gosip percintaannya dengan pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam yang didampinginya ketika membintangi filem Songlap untuk meraih populariti. Hebat penangan gadis dari Batu Pahat, Johor yang baru setahun berjinak-jinak sebagai pelakon ini. 

Ketika bakat sebenarnya belum terbukti, satu persatu peminat disajikan dengan cerita sensasi mengenainya. 

Selesakah Sara yang pernah muncul dalam filem Nur Kasih The Movie dan Penunggu Istana membawa pelbagai label kurang menyenangkan terutama bagi bakat baru sepertinya? 

“Secara peribadi, saya lebih selesa jika tidak terlalu menjadi perhatian. Tetapi Songlap membuat saya mula dikenali. Dari situ, saya menerima kenyataan saya tidak boleh lagi berpatah balik. Saya sendirian bergelut untuk memahami industri. Sulit tetapi saya berusaha melawan. Di luar, orang cuma mahu melihat kesempurnaan tanpa pernah mereka tahu apa yang bermain dalam diri saya. 
“Saya bukan manusia sempurna yang pantas menelan segala yang baru. Saya berperang dengan perasaan sendiri kerana bimbang gagal membawa diri, apatah lagi semuanya berlaku terlalu pantas,” kata gadis tinggi lampai ini, ramah menyusun bicara. 

Sedang meraih perhatian menerusi drama bersiri, Wasiat yang kini bersiaran di Astro Prima, Sara menjelaskan, pembabitannya dalam dunia lakonan didorong oleh keikhlasan serta minat yang tidak berbelah bagi. 

Lantaran itu, Sara tidak mahu terlalu memikirkan soal populariti malah akuinya penuh jujur, dia belum terlalu bersedia untuk disorot perhatian berlebihan. Namun, graduan jurusan Seni Bina dari Universiti Limkokwing itu akur untuk melaksanakan semua tanggungjawab itu sebagai satu bentuk promosi kepada setiap hasil kerjanya. 

“Saya seorang yang ringkas dan kasar, mungkin kerana itu jiwa saya tidak terlalu terdorong untuk berhias cantik bagi menjayakan sesi fotografi. Saya orang yang paling malas senyum tetapi apabila berada di depan umum, saya seperti dipaksa berpura-pura dan menjadi sesuatu yang bukan diri saya. 

“Saya masih belajar memahami perkara itu. Mahu atau tidak saya perlu lalui juga kerana ia sebahagian daripada tuntutan kerja,” katanya. 

Sara juga mengakui, keliru dengan sikap segelintir manusia yang cuba menjadikan industri hiburan sebagai satu permainan dan itu katanya, cukup menakutkan. 
Perkara itu, membuatkan dia belum bersedia untuk menyerahkan seluruh kehidupannya menjadi sorotan dan perhatian umum. 

“Apabila sudah mula diberi perhatian, ada saja yang dengki dan cuba menjatuhkan. Saya belum bersedia untuk menempuh semua itu. 

Saya memasuki dunia lakonan untuk belajar, bukan berniat mencari musuh atau mengganti tempat sesiapa. Alhamdulillah, saya sudah temui apa yang saya minat jadikan berikan saya dulu masa untuk memahami dan menyesuaikan diri,” katanya. 

Sara akur, dia memasuki industri tanpa perlu melalui pelbagai jalan sulit. Tawaran pertama diperolehnya menerusi laman sosial, Facebook dan selepas itu, satu demi satu peluang diterimanya. 

Barangkali kerana itu, Sara mengakui, dia mengalami kejutan budaya apabila tiba-tiba media memberikan perhatian luar biasa kepadanya. 

“Ada memberitahu saya beruntung tetapi tahukah mereka, apa yang saya rasa? Jalan memang sudah terbentang untuk saya lalui, tetapi pintu manakah yang terlebih dulu akan dibuka? Memikirkan semua itu, saya jadi bingung, takut dan gusar. Industri hiburan cukup menakutkan, ia boleh membentuk seseorang menjadi bertambah baik atau sebaliknya. 

“Mujur saya dipertemukan dengan mereka yang sedia membantu seperti Bront Palarae dan Beto Kushairy. Mereka mengajar saya supaya merendah diri dan tidak melatah diuji,” katanya. 

Shaheizy Sam bekas kekasih? 

GOSIP terbaru yang menimpa Sara Ali ialah apabila namanya turut dikaitkan dengan bintang filem paling laris, Shaheizy Sam. Barangkali kerana itu, Sara yang turut membintangi dua filem lain, Klip X-3GP dan Sesuatu Yang Tertinggal langsung enggan mengambil pusing apabila dikaitkan dengan gosip kurang enak itu. 

Sara menjelaskan, terpulanglah jika ada pihak yang kurang menyenangi kehadirannya hingga sanggup menabur pelbagai fitnah untuk menjatuhkan nama baiknya. Namun, jawapan sebenar cuma dia saja yang mengetahui, justeru Sara tidak pernah gentar kerana tahu dirinya berdiri di atas landasan kebenaran. 

Namun, tanpa perlu berdolak dalik, Sara mengakui memang berkawan dengan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. 

“Tetapi hubungan itu cuma terbatas sebagai kawan biasa. Tidak lebih daripada itu. Saya sendiri tidak pernah membuat pengakuan kami mempunyai hubungan istimewa, jadi bagaimana boleh timbul isu saya menjaja cerita Sam bekas kekasih saya? Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa Sam. Selepas Songlap, kami terikat dengan komitmen kerjaya masing-masing. Saya pun belum mahu bercinta. 

“Saya serius mahu menjadi anak seni dan tahu tidak selamanya akan bergelar pelakon. Perlahan-lahan saya mula belajar hal berkaitan kerja di balik tabir kerana saya mengimpikan untuk membikin filem sendiri satu hari nanti,” katanya.

0 orang bdk spray kt dinding aku:

Page Navigation Hack

~~boleh komen melalui facebook juga :)~~

jom click :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

afca little gurl..

~~Ruang iklan percuma untuk diiklankan~~
~~Ruang Iklan percuma~~

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP