Wednesday 31 August 2011

12 warga emas nyaris rentung dalam kebakaran

BH Online


KUANTAN: Dua belas warga emas yang sedang asyik menonton televisyen di rumah mereka, nyaris rentung dalam kebakaran enam rumah di kampung Baru Seberang, Sungai Lembing, dekat sini, petang semalam. 

Ketika kejadian, kebanyakan mangsa berkenaan yang sudah uzur dan bersara sebagai pekerja lombong bijih timah di situ sejak 20 tahun lalu, sedang berehat di rumah bersama pasangan suami isteri masing-masing sambil menantikan kepulangan anak mereka sempena cuti hari raya dan Hari Kebangsaan kelmarin.

Seorang mangsa, Loke Ah Lian, 71, berkata ketika kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu dia sedang asyik menonton televisyen bersama suaminya kerana terdapat banyak program menarik ditayangkan sempena hari raya.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan dari atas siling rumah seperti bunyi mercun menyebabkan saya tidak mengendahkannya kerana menyangka ada kanak-kanak nakal yang bermain mercun hari raya dan membalingnya ke atas bumbung. 

"Bagaimanaoun, sejurus selepas itu televisyen di rumah saya terpadam diikuti asap tebal dan api dari atas siling menyebabkan saya bersama suami segera berlari keluar dari rumah sambil menjerit memberitahu jiran yang lain. 

"Kami tidak sempat menyelamatkan barang dari dalam rumah kerana api terlalu marak membakar bahagian siling sehingga keseluruhan siling runtuh ke lantai," katanya. 
Seorang lagi mangsa, Kong Ah Heng, 61, berkata api dipercayai merebak masuk ke rumahnya dari rumah yang pertama, melalui kabel elektrik yang disambung ke bahagian atas dinding rumahnya. 

"Sebaik mendengar jeritan jiran, saya segera masuk ke bilik tidur untuk menyelamatkan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan sedikit wang tunai, namun saya melihat tilam dan almari pakaian sudah disambar api. 

"Dalam masa kira-kira 20 minit sahaja, api sudah merebak dan membakar enam rumah yang berhampiran kerana semua rumah kayu berkenaan terletak terlalu hampir antara satu sama lain," katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang 
menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa berkata kebanyakan rumah berkenaan berisiko terbakar kerana sudah berusia lebih 50 tahun yang dibina oleh syarikat perlombongan ketika era awal kemerdekaan negara dahulu. 

"Rumah berkenaan dibinanya daripada kayu dan asbestos, memang amat mudah disambar api menyebabkan ia boleh hangus dalam masa yang singkat. 

"Setakat ini, kerugian awal dianggarkan berjumlah RM200,000 dan bagi menampung kerugian itu, Kerajaan Negeri Pahang akan menyumbang RM5,000 bagi setiap keluarga. 

"Untuk permulaan, mereka juga menerima RM1,000 daripada Pusat Khidmat Parlimen Paya Besar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping bantuan selimut dan pakaian kerana semua mereka hanya tinggal sehelai sepinggang," katanya. 

Abdul Manan berkata, beliau akan mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri bagi merangka pelan pembangunan memelihara warisan sejarah perlombongan di Sungai Lembing termasuk rumah pekerja yang semakin uzur.


SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE

0 orang bdk spray kt dinding aku:

Page Navigation Hack

~~boleh komen melalui facebook juga :)~~

jom click :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

afca little gurl..

~~Ruang iklan percuma untuk diiklankan~~
~~Ruang Iklan percuma~~

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP